Wednesday, March 21, 2007

Rujukan...

Dan Akhirnya...
Human Development, A Life Span Approach 2nd Ed. F. Philip Rice.1995, USA. Prentice Hall Inc.

Psikologi Kanak-kanak dan Remaja. Rahil Mahyuddin, Maria Chong Abdullah, Habibah Elias.2005, UPM. Mc Graw Hill.

Development Psychology, Jafar Mahmud. 2004, New Delhi.

What Shall We Tell The Kids?. Oldshaker M.D.B. 1989, Schwartz & Wilkinson.

Understanding Children’s Development. Smith K.P dan Cowie H. 1988, Basil Blackwell.

Looking Forward Through Childhood and Adolescence, Developmental Psychology. Peterson C. 2004, Pearson Prentice Hall

Saturday, March 17, 2007

PENDIDIKAN AWAL
‘Kanak-kanak adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan kepadanya.’- Beecher
Pendidikan awal bagi diri anak-anak adalah kehidupan di sekelilingnya. Gerak laku dan tutur kata ibu bapa serta orang-orang di sekelilingnya sentiasa di dalam pemerhatian anak-anak tanpa kita sedari.
Gaya didikan ibu bapa dan persekitaran rumah memainkan peranan penting dalam membentuk sikap awal anak-anak. Apa yang dilihat dan dipelajari di rumah dan di sekelilingnya akan menjadi panduan dalam hidupnya.
Nilai-nilai yang terbentuk sejak awal tidak mudah untuk diubah melainkan jika ibu bapa menerapkan nilai-nilai ini setiap hari secara konsisten melalui aktiviti harian biasa. Ibu bapa adalah pendidik pertama dan utama anak-anak. Tugas ini tidak boleh diambil alih oleh sesiapa pun.
Di dalam memastikan bahawa anak-anak menerapkan nilai-nilai yang baik di dalam hidup mereka. peranan ibu bapa adalah untuk mengawas mereka, dan bukannya mengawal. Pengawasan yang menyeluruh dan berhemah daripada ibu bapa boleh membantu anak-anak membina waja diri yang kukuh.
PENGUASAAN DIRI
‘Menguasai diri ialah anak kunci kepada segala kemajuan dan kebahagiaan.’- Inayat Khan
Penguasaan diri adalah kemahiran penting yang harus dipelajari oleh kanak-kanak. Ianya merupakan suatu kuasa atau kawalan yang dimiliki oleh anak itu yang boleh mempengaruhi segala tindakannya.
Ianya juga bermakna bahawa anak itu faham akan erti benar atau salah.Anak yang tidak mampu membuat pilihan di atas kelakuannya dan sentiasa mengharapkan orang dewasa untuk membuat pilihan buat mereka, tidak akan dapat belajar menguasai diri sendiri. Tanggungjawab memikul segala akibat hasil dari kelakuannya akan diserahkan kepada orang lain.
Jika anak-anak diterapkan dengan kesedaran menguasai diri dari usia yang kecil lagi, mereka akan merasa lebih baik tentang pilihan yang mereka buat.Anak yang mampu menguasai dirinya dapat melawan nafsu dan memperkukuh benteng diri daripada pengaruh yang kurang baik. Mereka juga dapat mengawal perasaan marah dan memiliki ketahanan dalaman yang kuat.
Oleh itu, adalah baik jika ibu bapa dapat memberi maklum balas positif secara kerap kepada anak-anak serta memberikan perhatian yang sewajarnya kepada mereka. Ini dapat membantu mereka mempelajari tentang kelakuan yang elok, sekaligus membimbing mereka ke jalan kejayaan dan kemajuan.
MENDISIPLIN ANAK-ANAK
'Untuk mentadbir manusia, seseorang itu perlu mempunyai fikiran tajam beralaskan baldu.'- George Elliot
Menguruskan manusia memerlukan seseorang itu menggunakan kedua-dua minda dan jiwanya. Setiap pengurus harus memahami pekerjanya sebelum difahami. Begitu juga apabila seseorang itu mendisiplin anak-anak.
Gaya disiplin yang sebaik-baiknya digunakan bagi menangani kerenah anak-anak adalah gaya disiplin yang seimbang atau ‘authoritative’. Ibu bapa sedemikian tegas tetapi lembut. Tegas dalam menetapkan batasan tetapi lembut di dalam penyampaiannya.
Tegas tidak bermakna mengawal atau mengganggu pergerakan anak-anak. Sebaliknya, ibu bapa mengawas dan menyampaikan dengan jelas jangkaan dan peraturan yang dikehendaki tetapi pada masa yang sama, memberi anak-anak kebebasan untuk membuat pilihan, penjelasan dan peluang. Ibu bapa seperti ini juga boleh diajak berbincang dan sentiasa membuka luas ruang untuk berkomunikasi dengan anak-anak.
Menguruskan anak-anak dengan cara ini memberi mereka peluang untuk belajar dari kesilapan tanpa dicemuh atau diejek. Ini dapat membantu mereka membina keyakinan diri yang tinggi serta menggunakan daya pemikiran untuk membuat sebarang keputusan.
KEMAHUAN
'Kemahuan adalah laksana kompas kapal. Setiap orang yang hendak bergerak tanpa memakai kompas, keruntuhan telah menjadi kepastian.'- Epitectus
Kemahuan yang tinggi akan mendorong seseorang untuk mempunyai matlamat hidup yang jelas berdasarkan nilai hidup yang tinggi. Wawasan dan misi kehidupan digunakan untuk mengemudikan kehidupan seseorang dan keluarganya ke arah yang lebih baik lagi.
Anak-anak kecil juga boleh dibimbing untuk berpandangan jauh. Benarkan anak-anak tetapkan matlamat dan jangka waktu sendiri dalam menjalani kehidupan harian mereka. Ini dapat merangsang kepercayaan diri mereka dan menguatkan keyakinan diri.
Kemahuan tanpa matlamat akan merugikan seseorang dan matlamat tanpa usaha adalah sesuatu yang sia-sia. Oleh itu berilah perhatian kepada usaha dan kerja keras yang ditonjolkan oleh anak anda.
Proses pembelajaran yang dilaluinya setiap hari adalah sama pentingnya dengan matlamat yang ditetapkan. Cara yang digunakan anak-anak dalam mencapai matlamat hidup mereka mungkin berbeza tetapi destinasi yang dituju adalah sama.
BAHASA
Bahasa berfungsi sebagai alat komunikasi di mana ilmu yang ditimba, dibaca, didengar, difahami dan dibicarakan. Bagi menajamkan pemikiran seseorang itu, penguasaan bahasa yang baik dapat membantunya memahami bahan bacaan yang disediakan.
Penggunaan bahasa yang baik bermula daripada rumah dan gurunya yang pertama adalah ibu bapa.Penguasaan bahasa bagi anak-anak harus diterapkan dari awal lagi melalui persekitaran rumah yang kaya dengan bahasa. Kelilingilah anak dengan bahan-bahan rujukan yang dapat memperkaya dan membina pembangunan bahasanya.
Galakkan anak mengeluarkan pendapatnya dengan mengemukakan soalan-soalan yang terbuka kepadanya. Kerap berbual-bual dengan anak agar mindanya terangsang. Ini adalah kerana sewaktu tempoh pembentukan seorang kanak-kanak, otaknya dapat menampung segala maklumat yang diterima dan apa yang telah dipelajarinya itu akan dicurahkan semula.
Oleh itu, kekerapan bertutur dalam sesuatu bahasa itu akan dapat menajamkan kemahiran berfikirnya dan merangsang sifat ingin tahu anak-anak.
RANGSANGAN MINDA

Rangsangan minda membantu dalam perkembangan otak seseorang itu. Pembangunan kognitif anak bermula sewaktu anak itu dilahirkan di mana 100 bilion sel otak telah tercipta.
Para saintis bersependapat bahawa otak memperoleh maklumat yang paling banyak dalam tahun pertama anak di mana 75% perkembangan otak terjadi. Inilah masa yang baik untuk mempelajari apa sahaja sebab pembelajaran memuncak antara usia 3 hingga 10 tahun, tetapi berterusan sepanjang hidup anak. Kehidupan membentuk pembangunan otak anak.
Sentuhan lembut serta kata-kata perangsang yang diberikan oleh ibu bapa memberi sokongan bagi minda anak meresap segala bahan pembelajaran di sekeliling mereka. Gunakan aktiviti harian sebagai jendela pembelajaran. Interaksi seperti berbual-bual dengan anak dan mendengar perbualannya dapat membantu ibu bapa menggali lombong pemikiran anak.
Pengalaman awal kanak-kanak adalah penting bagi pembangunan emosi dan intelek mereka. Tanya juga berkait rapat dengan tahap kejayaan yang mungkin dialami dalam kehidupan mereka di kemudian hari. Oleh itu, pamerkanlah contoh terbaik buat anak.